Hoang Thi Hong Trang: Guru Melayan Saya Seperti Ibu Bapa

Guru Melayan Saya Seperti Ibu Bapa

Hoang Thi Hong Trang dari Vietnam menamatkan pengajian pascasiswazah di Universiti Penyelidikan Kebangsaan Negeri Tomsk dan kini mengajar di Universiti Pedagogi Ho Chi Minh City. Ikuti wawancara mengenai pembelajarannya di Rusia.

- Mengapa anda memutuskan untuk belajar di Rusia?

– Saya memiliki kepakaran dalam bahasa Rusia dan filologi. Semua pelajar yang belajar Bahasa Rusia mengimpikan untuk pergi ke Rusia untuk belajar. Saya tidak terkecuali. Saya mempunyai ramai rakan yang merupakan lulusan universiti-universiti Rusia dan kembali ke Vietnam di mana mereka berjaya dalam kerjaya mereka.

- Bagaimana anda berjaya masuk ke universiti?

- Saya belajar di Universiti Ho Chi Minh dan saya memperoleh keputusan yang cukup baik. Kemudian saya mendapat tawaran biasiswa daripada kerajaan Vietnam lalu datang ke Rusia. Saya belajar di Moscow selama setahun dan kemudian saya pergi ke Tomsk.

- Mengapa anda memilih Tomsk?

- Saya mempunyai seorang kenalan di Moscow yang mengatakan bahawa Tomsk adalah kota yang indah tidak ubah seperti St Petersburg. Itu membuat saya berasa hairan, dan saya memutuskan untuk mencuba belajar di sana.

- Apa pandangan pertama anda tentang Tomsk?

- Semuanya baru, luar daripada kebiasaan dan aneh bagi saya - tidak seperti di rumah, tidak seperti di Moscow. Tetapi kemudian saya melihat bahawa saya bernasib baik kerana warga Tomsk sangat baik. Guru-guru Universiti Negeri Tomsk sangat baik, selalu bersedia membantu menyelesaikan semua masalah yang saya hadapi. Kecuali berkenaan cuaca, sudah tentu (ketawa).

Trang_06.jpg
© From personal files

- Bagaimana anda membiasakan diri dengan iklim?

– Bagi saya, cuaca di Tomsk sangat teruk! Saya datang ke sana pada bulan November, ia sangat sejuk; salji meliputi segalanya. Tetapi kemudian saya terbiasa. TSU mempunyai asrama yang baik; keadaan di situ sentiasa selesa. Jika saya keluar, saya memakai banyak lapisan pakaian; keadaan hangat di dalam universiti atau asrama.

- Sila beritahu tentang asrama.

- Kami mempunyai pangsapuri tiga bilik. Semasa belajar, saya berkongsi bilik dengan pelajar dari pelbagai negara seperti Rusia, Republik Czech, Itali dan Indonesia.

- Adakah anda mesra dengan mereka?

- Ya, saya berbahasa Rusia dengan rakan Rusia dan bercakap Inggeris dengan yang lain. Orang Indonesia tidak mengetahui bahasa dengan baik, jadi kami banyak menggunakan gerak isyarat untuk berkomunikasi. Ia adalah pengalaman yang menarik.

- Adakah anda bertemu kawan baru semasa belajar?

Ya, saya mempunyai ramai kawan, termasuk orang Rusia kerana saya belajar bahasa Rusia dan bercakap dalam bahasa Rusia adalah menarik. Malangnya, kami tidak banyak berkomunikasi sekarang; setiap orang mempunyai pekerjaan dan perkara yang harus dilakukan....

- Bagaimana dengan makanan?

– Saya memasak makanan saya sendiri; kadang-kadang saya pergi ke kafe untuk belajar tentang masakan Rusia. Saya rasa hidangan Rusia adalah suatu kemestian bagi semua warga asing. Saya paling menyukai sup, seperti sup ubi bit, dan, tentu saja, kubis rebus dengan daging.

Trang_02.jpg
© From personal files

- Bolehkah anda mendapatkan ramuan yang tepat untuk menyediakan sajian natif anda?

- Ya, tetapi tidak mudah kerana di Vietnam, kami menggunakan produk-produk lain. Mendapatkan sayur-sayuran yang betul adalah masalah sebenar. Mereka kebanyakannya menjual kentang, bawang dan lobak di sini, sementara kami menggunakan lebih banyak jenis sayur-sayuran hijau. Di Rusia, saya menambah kubis ke dalam semua hidangan, walaupun saya jarang menjamahnya di rumah.

- Adakah para sukarelawan dan kakitangan universiti membantu anda?

- Semasa saya tiba ke Tomsk, saya mempunyai sukarelawan peribadi. Dia menunjukkan saya persekitaran, membawa saya ke pasar raya dan kedai di mana saya dapat membeli pakaian panas, dan menjelaskan cara menyediakan dokumen dengan betul dan melanjutkan tempoh visa saya. Kemudian, saya juga menjadi sukarelawan yang membantu pelajar-pelajar Vietnam untuk menyesuaikan diri.

- Apa yang kamu buat di kelas?

- Falsafah adalah kelas pertama yang saya ikuti; kuliah itu dalam bahasa Rusia. Terus terang, saya tidak faham apa yang cikgu bicarakan (ketawa). Tetapi saya melipatgandakan usaha saya, pergi ke perpustakaan setiap hari dan membaca buku-buku mengenai falsafah dan filologi. Tidak lama kemudian saya mula memahami guru saya dengan baik.

- Adakah anda mempunyai mentor?

- Ya, Galina Nikolayevna banyak membantu saya. Di Vietnam, penyediaan tesis berbeza berbanding bagaimana ia dibuat di Rusia, dan kertas kerja juga berbeza. Mentor saya menjelaskan semuanya kepada saya dan banyak membimbing saya; saya amat berterima kasih kepadanya. Jujurnya, saya merindui dia.

Trang_05.jpg © From personal files

- Adakah universiti mengadakan perayaan atau festival?

– Universiti sering menganjurkan pelbagai acara; saya tidak pernah ketinggalan mengikutinya. Rusia mempunyai banyak percutian, lebih banyak daripada Vietnam; saya suka meraikannya. Saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai amalan tradisi Rusia dan cara orang Rusia menghabiskan masa lapang.

- Adakah anda melancong pada masa lapang?

- Ya, saya melawat Moscow, St Petersburg, Novosibirsk dan Krasnoyarsk. Saya merancang untuk pergi ke Altai dan Baikal untuk menikmati pemandangan-pemandangan indah tetapi saya tidak mempunyai masa untuk ke sana. Saya pulang ke Vietnam satu kali untuk melihat keluarga saya; tetapi saya tidak meninggalkan mereka terlalu lama.

- Apa pemandangan yang anda lihat di Tomsk?

- Saya suka berjalan di Camp Garden dan di kebun bedekatan Universiti. Alam semula jadi indah di sana. Terdapat banyak muzium, walaupun tidak sebanyak di Moscow atau St Petersburg. Saya suka Muzium Sejarah Tomsk. Saya pergi ke Teater Drama, para pelakon beraksi dengan baik; bagi saya mereka lebih profesional berbanding para pelakon di Vietnam.

Tomsk adalah sebuah bandar kecil tetapi sangat baik; saya suka akan suasananya. Ia bersih dan selamat. Saya menyukai bandar Tomsk.

- Apa yang paling anda suka di Rusia?

- Saya suka warganya yang sangat baik hati. Saya memahaminya sebaik sahaja saya datang ke sini.

Satu ketika saya gagal menemui pondok perhentian bas. Saya meminta pertolongan seorang pemuda di jalanan; bukan sahaja dia memberi tunjuk arah, malah menemani saya ke perhentian bas. Semua orang membantu, baik warga kota mahu pun para guru universiti. Anda boleh mengatakan bahawa mereka seperti ibu bapa kepada saya. Mereka menerangkan bahan pengajaran di dalam kelas dan menjaga saya, mereka bertanya tentang keadaan hidup di asrama dan adakah saya sudah terbiasa dengan cuaca, jika saya memakai pakaian panas dan adakah saya menikmati makanan seimbang. Sebenarnya, mereka benar-benar seperti ibu bapa Rusia saya.

Trang_08.jpg © From personal files

- Apa yang anda tidak suka?

Iklim Siberia semestinya. Terlalu sejuk pada musim sejuk dan terlalu panas pada musim panas. Cuaca cepat berubah, saya boleh katakan ia agak gila. Cuaca hangat pada waktu pagi, tetapi salji boleh turun pada waktu petang. Kecuali cuaca, selebihnya baik sekali.

- Anda bekerja di universiti sekarang, bukan?

- Ya, saya mengajar bahasa Rusia di universiti. Semasa saya kembali, ia agak tidak biasa pada mulanya. Saya agak janggal dengan kehidupan di Vietnam; saya sudah terbiasa dengan keadaan di Rusia (lol). Saya ingat kelas pertama saya, saya terkejut kerana pelajar di sini berbeza, tidak seperti di Rusia. Perkara yang paling tidak dijangka ialah walaupun mereka dan saya berbahasa Rusia, kami gagal memahami antara satu sama lain. Bolehkah anda bayangkan? Kelihatan seperti kami bertutur dalam pelbagai bahasa. Ini berlaku kerana ketika mereka berbahasa Rusia, mereka terus berfikir dalam bahasa Vietnam, dan menekankan kata-kata seperti yang mereka biasa katakan... Saya juga bertutur seperti itu sebelum ini sehingga saya mula tinggal di Rusia dan memahami cara percakapan yang betul. Itulah sebabnya mengapa belajar di universiti Rusia sangat penting bagi kami ahli filologi.

- Nasihat apa yang dapat anda berikan kepada calon-calon pelajar antarabangsa yang ingin belajar di Rusia?

- Saya boleh memberitahu pelajar yang memilih jurusan bahasa Rusia akan hal ini: pilih Moscow atau Tomsk sebagai destinasi pengajian anda di luar negara. Di bandar-bandar ini, orang bertutur dalam bahasa Rusia standard tanpa loghat wilayah, begitulah cara saya mendengarnya. Di St Petersburg, loghatnya berbeza, warganya seolah-olah tidak mengendahkan akan tekanan. Pada umumnya, cadangannya adalah seperti berikut: jika anda ingin belajar di Rusia, anda harus masuk ke universiti, dan semuanya akan baik-baik saja.

LEARN MORE
Kongsi