Obninsk adalah sebuah bandar di wilayah Kaluga yang terletak 105 kilometer di barat daya Moscow. Di sinilah loji tenaga nuklear pertama di dunia dilancarkan.

Bandar Sains Kejayaan Besar

Selain NPP pertama, Obninsk melancarkan reaktor neutron pantas, menara cuaca dan pusat latihan kru kapal selam. Menara setinggi 310 meter adalah kemudahan meteorologi tertinggi di Eropah. Ia tidak mempunyai asas menyokong sebaliknya bersandar pada sfera besar dan disokong oleh kabel-kabel keluli. Obninsk mempunyai sepuluh institusi penyelidikan dalam pelbagai cabang sains. Pada tahun 2000, ia dianugerahkan gelaran kota sains kerana sumbangannya dalam penyelidikan kebangsaan. Nama-nama yang diilhamkan oleh sains terdapat di sekeliling bandar. Jata bandar menunjukkan atom (Atom juga merupakan nama pusat hiburan tempatan), bahagian depan sebuah loji lama menggunakan formula Einstein dan salah satu kedai dinamakan berdasarkan unsur kimia Radium; ia menjual alat tulis dan barang sukan serta muzik.

Bandar Loji Tenaga Nuklear Pertama

NPP pertama di dunia dilancarkan pada tahun 1954. Ia mempunyai satu reaktor dengan menggunakan grafit yang disejukkan dengan air sebagai moderatornya yang menjana tenaga elektrik dan berfungsi sebagai platform penyelidikan. NPP ditutup pada tahun 2002 setelah 48 tahun beroperasi. Pada masa ini ia menempatkan Muzium Kejuruteraan Tenaga Nuklear; hanya lawatan kumpulan pra-pendaftaran yang disediakan.

Bandar Belia

Obninsk adalah sebuah bandar kecil tetapi dapat memberikan banyak kemudahan kepada para pelajar untuk aktiviti rekreasi seperti pusat hiburan yang besar dengan kemudahan billiard dan boling, bilik permainan dan bar sukan, pelbagai kafe dan restoran, beberapa kelab malam dan bar karaoke, serta konsert dan perayaan. Peminat rekreasi aktif boleh bermain paintball di taman ekstrem yang mempunyai gelanggang bola tampar pantai dan bola sepak lima sebelah, trek berbasikal quad, pusat trampolin dan kompleks sukan dengan kolam renang dan gelanggang luncur ais. Obninsk mempunyai trek rollerski di hutan; trek dinyalakan sehingga jam 22:00. Snow Park adalah pusat peranginan ski gunung di pinggir bandar di tebing sungai Protva; jika anda menaiki kereta kabel untuk ke puncak, anda akan melihat pemandangan yang indah.

Tempat untuk Dilihat

Bandar ini mempunyai beberapa lokasi yang berkaitan dengan ahli fizik nuklear Igor Kurchtoav yang mengetuai projek untuk melancarkan NPP pertama di dunia. Tugu peringatan untuk Kurchatov berada di dataran bersebelahan Institut Pusat Pendidikan dan Latihan Berterusan. Tugu peringatan lain yang dihormati oleh penduduk bandar adalah Learned Cat berhampiran House of Scientists: kucing yang diberi makan dengan baik yang memakai cermin mata bulat dan jaket sambil memegang buku dan skrol di tapak kakinya; terdapat paparan granit di latar belakang di mana pelajar itu seharusnya melangkah untuk menjadi sarjana yang cemerlang.

Air pancut muzikal berada di Dataran Pobeda bersebelahan Eternal Fire di pusat bandar Obninsk; pancutan air berkilau dengan warna yang berbeza diselaraskan dengan melodi. Air pancut kelihatan hebat pada waktu malam.

Belkino Park lama dengan lata-lata kolam terletak di barat laut bandar. Pengunjung boleh berjalan-jalan di sepanjang jalan, duduk di kafe atau di Lovers’ Summer House di tebing kolam atau berkelah di kawasan rumput. Stesen bot menawarkan bot dan kapal dayung untuk disewa. Sebuah pentas kecil dibina di taman untuk konsert hujung minggu. Kawasan itu dulu merupakan ladang Belkino yang didirikan oleh seorang boyar (bangsawan) Ivan Otyayev, yang diberi nama jolokan Belka, pada abad ke-15. Rumah besar itu kini runtuh dengan serpihan dinding bata fresco. Terdapat bangunan yang terpelihara Gereja Boris dan Gleb yang dibina pada tahun 1773 di sekitarnya.

Lawati muzium sejarah tempatan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Obninsk. Ia mempunyai kira-kira 60,000 pameran. Yang dipamerkan adalah alatan kuno, besi sejuk dan barangan tanah liat, barangan kultus yang dijumpai di tempat penggalian di sekitar bandar serta pameran kostum petani abad ke-19 yang pernah tinggal di kawasan ini. Sebahagian besar paparan dikhaskan untuk peristiwa abad ke-20 seperti pelancaran pusat penyelidikan di bandar dan pembinaan NPP pertama serta para saintis Rusia yang luar biasa yang dahulu menaburkan bakti di Obninsk.

Di Sekeliling Kawasan Bandar

Bandar kuno Borovsk terletak 20 kilometer dari bandar; ia dipercayai telah dibina pada tahun 1358, tetapi ahli arkeologi mengatakan penempatan telah wujud di tempat itu seawal abad ke-12. Ia adalah sebuah kota gereja dengan sepuluh kuil ortodoks dan Biara St Paphnutius. Borovsk berada di atas bukit yang menjadikan pemandangan bandar agak luar biasa. Pusat bandar masih mempunyai rumah saudagar abad ke-19 yang utuh, rumah kayu dengan ukiran, bangunan perindustrian dan deretan gerai membeli-belah. Dinding beberapa bangunan mempunyai lukisan yang luar biasa yang dilukis oleh artis tempatan Vladimir Ovchninnikov.